BAB 4
"ASTAGHFIRULLAH AL-AZIM." Terduduk Datin Farizah di atas sofa apabila mendengar apa yang terjadi
daripada mulut Farish. Terkedu dia di sofa itu lama sebelummenggelengkan
kepala. Seakan-akan tidak percaya dengan apa yang baru diceritakan oleh Farish
kepadanya sebentar tadi.
"Ma, Rish kecewa
sangat." Luah Farish perlahan sambil meraup mukanya. Dia melabuhkan
punggung di sebelah mamanya itu. Bahu Datin Farizah dipeluk erat. Sungguh,
hampir gugur jantungnya tadi melihat apa yang berlaku. Terasa sesak mencengkam
dada!
"Firash mana?
Mama nak cakap dengann dia," Datin Farizah sedikit mengeluh. Dia perasan
wajah kusut Farish yang mula-mula sampai ke rumah tadi. Anak sulungnya itu
seperti tidak berdaya untuk melangkah.
"Entah, ma. Rish
tak tahu," balas Farish lemah dan menyandarkan tubuh ke sofa. Dia mengeluh
seketika dan memejamkan mata. Cuba untuk melenyapkan segala yang terpapar di
ruang matanya sebentar tadi.
"Mama nak cakap
dengan Syaf," pinta Datin Farizah kepada Farish.
Mendengar sebaris nama
itu, hati Farish dipaut sayu. Walaupun dia sudah memutuskan hubungannya bersama
Syaf tadi, namun bukan senang untuk melupakan cinta yang sudah terpupuk hampir
tiga tahun lamanya itu. Baru sahaja minggu lepas mereka berbincang tentang hal
pertunangan mereka. Dan minggu ini tidak disangka-sangka hal ini berlaku.
"Ma call-lah dia.
Rish dah tak nak masuk campur," balas Farish lalu bingkas berdiri. Dia
perlu menenangkan diri untuk seketika. Dia bimbang yang dia tidak dapat
mengawal dirinya jika ternampak Firash ataupun Syaf ketika ini.
"Farish, jangan
macam tu. Hal ni boleh diselesaikan," pujuk Datin Farizah lembut. Dia amat
bersimpati dengan nasib yang menimpa anak sulungnya itu. Namun dia perlu
bercakap dengan Syaf dan Firash untuk mengetahui akan hal yang sebenar.
Mendengar daripada satu pihak sahaja tidak menyelesaikan masalah. Mungkin
Firash dan Syaf ada alasan sendiri kenapa mereka berdua boleh terjebak dalam
perkara begitu.
"Ma, Rish dah tak
nak cakap pasal ni. Terpulanglah pada mama nak selesaikan macam mana,"
putus Farish lalu menapak ke tangga. Dia perasan wajah mamanya itu sedikit
sedih namun kesedihan itu tidak sama dengan kesedihan yang menimpa dirinya
ketika ini. Otaknya benar-benar serabut. Dia kusut!
"Farish! panggil
Datin Farizah namun Farish langsung tidak menyahut . Menonong sahaja langkahnya
naik ke tingkat atas.
"APA yang dah berlaku ni,
Firash?" soal Datin Farizah apabila melihat kelibat Firash yang baru
sahaja tiba di rumah. Firash yang sedang melangkah itu terhenti. Dia memandang
ke arah Datin Farizah yang menunggunya di ruang tamu.
"Firash, beritahu
mama apa yang dah berlaku? Kenapa jadi macam ni?" bertalu-talu soalan
dilemparkan Datin Farizah kepadanya. Firash terdiam seketika. Tidak tahu untuk
menjawab yang mana satu dahulu.
"Firash,
cakaplah. Jangan diam macam ni saja," Datin Farizah menyentuh lengan anak
bongsunya itu. Firash mengeluh dan
menekur lantai.
"Firash tak
tahu,ma. Sedar-sedar saja tadi Firash dengan Syaf dah ada kat satu bilik,"
Luah Firash lemah. Datin Farizah menggelengkan kepalanya. Airmatanya mula
mengalir di pipinya apabila mendengar cerita daripada Firash.
"Tapi Firash
betul ada buat apa-apa kat Syaf ke?" soal Datin Farizah lagi, cuba
memastikan apa yang berlaku.
Firash mengerut dahi,
cuba untuk mengingati sesuatu namun segalanya samar-samar. Dia sudah lupa
dengan kejadian yang berlaku. Langsung satu pun tidak melekat di ruang
ingatannya. Perkara terakhir yang dia ingat ialah ketika Raina menghulurkan
segelas minuman kepadanya. Minuman? Firash mula terfikir sesuatu. Adakah
minuman yang diberi oleh Raina tadi menyebabkan dia bertindak di luar kawalan?
"Syaf mana? Mama
nak cakap dengan dia. Tentu dia sedih sekarang," Datin Farizah bertanya
lagi. Tadi dia ada cuba menelefon Syaf
namun gadis itu tidak menjawab. Dia bimbang jika gadis itu melakukan perkara
yang tidak masuk akal. Sudahlah gadis itu tiada tempat hendak mengadu.
"Firash nak
keluar kejap," tutur Firash lalu bergegas keluar tanpa menjawab soalan
daripada Datin Farizah. Dia perlu bertanya kepada Raina akan perkara tadi.
Sudahlah tadi dia tidak berjumpa dengan Raina selepas peristiwa hitam itu.
Terus sahaja dia pulang ke rumah semasa parti itu masih lagi berlangsung.
"Nak ke mana
pulak tu? Mama tak habis cakap lagi ni!" Sedikit terjerit suara Datin
Farizah memanggil Firash namun hanya sia-sia sahaja kerana susuk tubuh Firash
sudah hilang di dalam perut kereta. Datin Farizah mengeluh lemah. Telefon
bimbit di atas meja diambil untukmenghubungi Syaf. Mesti gadis itu sedih dan
kecewa dengan apa yang berlaku sekarang ini.
FIRASH memberhentikan kereta betul-betul di hadapan
banglo tiga tingkat kepunyaan Raina. Kereta-kereta mewah yang bersusun tadi
sudah tiada lagi di situ. Dia mengerling ke arah jam di dashboard kereta. Sudah
pukul satu pagi pun. Ah, lantaklah! Janji aku kena buat perhitungan dengan
Raina!
Dia keluar dari
keretanya dan terus sahaja menghalakan langkahnya ke pintu pagar yang bertutup.
Jika tadi pintu pagar itu terbuka luas semasa parti itu sedang berlangsung. Dia
menoleh ke tiang tepi pagar. Terdapat satu loceng di situ. Punat loceng itu
ditekan tanpa menoleh ke arah sekeliling. Baru dua kali ditekan, derap langkah
seseorang menghentikan perlakuannya.
"Cari siapa
ni?" tanya seorang pengawal yang berbaju biru gelap.
Firash mengerutkan
dahi. Rasanya masa datang tadi pengawal lain. Apa di sini dia orang ada syif
malam dan siang jugakah?
"Erm, Raina
ada?" soal Firash.
Pengawal itu memandang
Firash lama sebelum menjawab.
"Adik ni siapa?
Kawan Cik Raina ke?" soal pengawal itu lagi.
"Ye, saya kawan
dia. Dia ada tak?"
"Maaf, Cik Raina
tak ada. Dia dengan Encik Raimy baru saja keluar tadi," jawab pengawal itu
seperti ayat itu sudah dihafalnya. Firash mengeluh lemah. Ke mana pulak
perginya budak Raina tu? Sudahlah aku ada hal penting nak jumpa dengan dia ni!
"Hmmm, tak
apalah. Terima kasih," Firash berlalu pergi. Sudahnya dia tersandar lemah
di keretanya. Macammana nak settle hal ni kalau Raina tak ada? Pintu kereta
ditolak lemah. Dia memboloskan tubuhnya di situ. Seketika dia cuba memejamkan
mata. Seolah-olah cuba untuk melupakan hal yang berlaku tadi.
"WAALAIKUMUSSALAM."
Syaf menjawab salam itu
lemah. Panggilan telefon kali keempat itu akhirnya diangkat juga setelah
melihat nama pemanggil yang tertera di skrin telefon.
"Syaf ada kat
mana ni?" Datin Farizah bertanya lembut. Amat maklum yang gadis itu sedang
di dalam kesedihan sekarang.
"Erm, ada kat
rumah, ma," balas Syaf dengan suara sedikit serak. Sejak balik dari rumah
Raimy, dia tidak henti-henti menangis. Fara pula sudah pulang ke kampung kerana
esok merupakan cuti umum.
"Syaf datang sini
jumpa mama. Kita bincang apa yang dah berlaku," pujuk Datin Farizah.
Syaf mengeluh lemah
mendengar kata-kata Datin Farizah. Hendak bincang apa lagi? Sedangkan Farish
sudah pun memutuskan hubungan dengannya. Rasanya dia sudah tidak berdaya lagi
untuk berkata apa-apa. Namun bila mengenangkan Firash yang terus sahaja
melarikan diri, hatinya terasa sakit.
"Ma. boleh tak
Syaf datang esok? Syaf penatlah," putusnya setelah seketika mendiamkan
diri. Datin Farizah menarik nafas perlahan.
"Yelah, Syaf
jangan lupa datang, okey? Jangan pendam masalah ni sendiri. Jangan lupa yang
mama ada kat sini," pesan Datin Farizah lagi. Bimbang juga jika gadis itu
melakukan perkara yang bukan-bukan. Sudahlah gadis itu tiada tempat untuk
bergantung setelah kematian kedua-dua orang tuanya.
"Insya-Allah, ma.
Nanti Syaf cuba datang," Syaf memutuskan talian. Telefon bimbit itu
dimatikan sebelum menutup mukanya dengan bantal. Air mata yang sedari tadi
bertakung di tubir matanya akhirnya kembali menitis.