Tuesday, October 22, 2013

SEBENARNYA SAYA ISTERI DIA - BAB 4

BAB 4

"ASTAGHFIRULLAH AL-AZIM." Terduduk Datin Farizah di atas sofa apabila mendengar apa yang terjadi daripada mulut Farish. Terkedu dia di sofa itu lama sebelummenggelengkan kepala. Seakan-akan tidak percaya dengan apa yang baru diceritakan oleh Farish kepadanya sebentar tadi.
                "Ma, Rish kecewa sangat." Luah Farish perlahan sambil meraup mukanya. Dia melabuhkan punggung di sebelah mamanya itu. Bahu Datin Farizah dipeluk erat. Sungguh, hampir gugur jantungnya tadi melihat apa yang berlaku. Terasa sesak mencengkam dada!
                "Firash mana? Mama nak cakap dengann dia," Datin Farizah sedikit mengeluh. Dia perasan wajah kusut Farish yang mula-mula sampai ke rumah tadi. Anak sulungnya itu seperti tidak berdaya untuk melangkah.
                "Entah, ma. Rish tak tahu," balas Farish lemah dan menyandarkan tubuh ke sofa. Dia mengeluh seketika dan memejamkan mata. Cuba untuk melenyapkan segala yang terpapar di ruang matanya sebentar tadi.
                "Mama nak cakap dengan Syaf," pinta Datin Farizah kepada Farish.
                Mendengar sebaris nama itu, hati Farish dipaut sayu. Walaupun dia sudah memutuskan hubungannya bersama Syaf tadi, namun bukan senang untuk melupakan cinta yang sudah terpupuk hampir tiga tahun lamanya itu. Baru sahaja minggu lepas mereka berbincang tentang hal pertunangan mereka. Dan minggu ini tidak disangka-sangka hal ini berlaku.
                "Ma call-lah dia. Rish dah tak nak masuk campur," balas Farish lalu bingkas berdiri. Dia perlu menenangkan diri untuk seketika. Dia bimbang yang dia tidak dapat mengawal dirinya jika ternampak Firash ataupun Syaf ketika ini.
                "Farish, jangan macam tu. Hal ni boleh diselesaikan," pujuk Datin Farizah lembut. Dia amat bersimpati dengan nasib yang menimpa anak sulungnya itu. Namun dia perlu bercakap dengan Syaf dan Firash untuk mengetahui akan hal yang sebenar. Mendengar daripada satu pihak sahaja tidak menyelesaikan masalah. Mungkin Firash dan Syaf ada alasan sendiri kenapa mereka berdua boleh terjebak dalam perkara begitu.
                "Ma, Rish dah tak nak cakap pasal ni. Terpulanglah pada mama nak selesaikan macam mana," putus Farish lalu menapak ke tangga. Dia perasan wajah mamanya itu sedikit sedih namun kesedihan itu tidak sama dengan kesedihan yang menimpa dirinya ketika ini. Otaknya benar-benar serabut. Dia kusut!
                "Farish! panggil Datin Farizah namun Farish langsung tidak menyahut . Menonong sahaja langkahnya naik ke tingkat atas.


"APA yang dah berlaku ni, Firash?" soal Datin Farizah apabila melihat kelibat Firash yang baru sahaja tiba di rumah. Firash yang sedang melangkah itu terhenti. Dia memandang ke arah Datin Farizah yang menunggunya di ruang tamu.
                "Firash, beritahu mama apa yang dah berlaku? Kenapa jadi macam ni?" bertalu-talu soalan dilemparkan Datin Farizah kepadanya. Firash terdiam seketika. Tidak tahu untuk menjawab yang mana satu dahulu.
                "Firash, cakaplah. Jangan diam macam ni saja," Datin Farizah menyentuh lengan anak bongsunya  itu. Firash mengeluh dan menekur lantai.
                "Firash tak tahu,ma. Sedar-sedar saja tadi Firash dengan Syaf dah ada kat satu bilik," Luah Firash lemah. Datin Farizah menggelengkan kepalanya. Airmatanya mula mengalir di pipinya apabila mendengar cerita daripada Firash.
                "Tapi Firash betul ada buat apa-apa kat Syaf ke?" soal Datin Farizah lagi, cuba memastikan apa yang berlaku.
                Firash mengerut dahi, cuba untuk mengingati sesuatu namun segalanya samar-samar. Dia sudah lupa dengan kejadian yang berlaku. Langsung satu pun tidak melekat di ruang ingatannya. Perkara terakhir yang dia ingat ialah ketika Raina menghulurkan segelas minuman kepadanya. Minuman? Firash mula terfikir sesuatu. Adakah minuman yang diberi oleh Raina tadi menyebabkan dia bertindak di luar kawalan?
                "Syaf mana? Mama nak cakap dengan dia. Tentu dia sedih sekarang," Datin Farizah bertanya lagi. Tadi  dia ada cuba menelefon Syaf namun gadis itu tidak menjawab. Dia bimbang jika gadis itu melakukan perkara yang tidak masuk akal. Sudahlah gadis itu tiada tempat hendak mengadu.
                "Firash nak keluar kejap," tutur Firash lalu bergegas keluar tanpa menjawab soalan daripada Datin Farizah. Dia perlu bertanya kepada Raina akan perkara tadi. Sudahlah tadi dia tidak berjumpa dengan Raina selepas peristiwa hitam itu. Terus sahaja dia pulang ke rumah semasa parti itu masih lagi berlangsung.
                "Nak ke mana pulak tu? Mama tak habis cakap lagi ni!" Sedikit terjerit suara Datin Farizah memanggil Firash namun hanya sia-sia sahaja kerana susuk tubuh Firash sudah hilang di dalam perut kereta. Datin Farizah mengeluh lemah. Telefon bimbit di atas meja diambil untukmenghubungi Syaf. Mesti gadis itu sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku sekarang ini.


FIRASH memberhentikan kereta betul-betul di hadapan banglo tiga tingkat kepunyaan Raina. Kereta-kereta mewah yang bersusun tadi sudah tiada lagi di situ. Dia mengerling ke arah jam di dashboard kereta. Sudah pukul satu pagi pun. Ah, lantaklah! Janji aku kena buat perhitungan dengan Raina!
                Dia keluar dari keretanya dan terus sahaja menghalakan langkahnya ke pintu pagar yang bertutup. Jika tadi pintu pagar itu terbuka luas semasa parti itu sedang berlangsung. Dia menoleh ke tiang tepi pagar. Terdapat satu loceng di situ. Punat loceng itu ditekan tanpa menoleh ke arah sekeliling. Baru dua kali ditekan, derap langkah seseorang menghentikan perlakuannya.
                "Cari siapa ni?" tanya seorang pengawal yang berbaju biru gelap.
                Firash mengerutkan dahi. Rasanya masa datang tadi pengawal lain. Apa di sini dia orang ada syif malam dan siang jugakah?
                "Erm, Raina ada?" soal Firash.
                Pengawal itu memandang Firash lama sebelum menjawab.
                "Adik ni siapa? Kawan Cik Raina ke?" soal pengawal itu lagi.
                "Ye, saya kawan dia. Dia ada tak?"
                "Maaf, Cik Raina tak ada. Dia dengan Encik Raimy baru saja keluar tadi," jawab pengawal itu seperti ayat itu sudah dihafalnya. Firash mengeluh lemah. Ke mana pulak perginya budak Raina tu? Sudahlah aku ada hal penting nak jumpa dengan dia ni!
                "Hmmm, tak apalah. Terima kasih," Firash berlalu pergi. Sudahnya dia tersandar lemah di keretanya. Macammana nak settle hal ni kalau Raina tak ada? Pintu kereta ditolak lemah. Dia memboloskan tubuhnya di situ. Seketika dia cuba memejamkan mata. Seolah-olah cuba untuk melupakan hal yang berlaku tadi.

                "WAALAIKUMUSSALAM." Syaf menjawab salam itu lemah. Panggilan telefon kali keempat itu akhirnya diangkat juga setelah melihat nama pemanggil yang tertera di skrin telefon.
                "Syaf ada kat mana ni?" Datin Farizah bertanya lembut. Amat maklum yang gadis itu sedang di dalam kesedihan sekarang.
                "Erm, ada kat rumah, ma," balas Syaf dengan suara sedikit serak. Sejak balik dari rumah Raimy, dia tidak henti-henti menangis. Fara pula sudah pulang ke kampung kerana esok merupakan cuti umum.
                "Syaf datang sini jumpa mama. Kita bincang apa yang dah berlaku," pujuk Datin Farizah.
                Syaf mengeluh lemah mendengar kata-kata Datin Farizah. Hendak bincang apa lagi? Sedangkan Farish sudah pun memutuskan hubungan dengannya. Rasanya dia sudah tidak berdaya lagi untuk berkata apa-apa. Namun bila mengenangkan Firash yang terus sahaja melarikan diri, hatinya terasa sakit.
                "Ma. boleh tak Syaf datang esok? Syaf penatlah," putusnya setelah seketika mendiamkan diri. Datin Farizah menarik nafas perlahan.
                "Yelah, Syaf jangan lupa datang, okey? Jangan pendam masalah ni sendiri. Jangan lupa yang mama ada kat sini," pesan Datin Farizah lagi. Bimbang juga jika gadis itu melakukan perkara yang bukan-bukan. Sudahlah gadis itu tiada tempat untuk bergantung setelah kematian kedua-dua orang tuanya.

                "Insya-Allah, ma. Nanti Syaf cuba datang," Syaf memutuskan talian. Telefon bimbit itu dimatikan sebelum menutup mukanya dengan bantal. Air mata yang sedari tadi bertakung di tubir matanya akhirnya kembali menitis.

No comments:

Post a Comment