Monday, October 21, 2013

SEBENARNYA SAYA ISTERI DIA - BAB 1

BAB  1
SYAF membelokkan kereta Myvi putihnya ke jalan yang mempamerkan papan tanda Tilatri High. Suasana  malam yang hanya diterangi oleh lampu-lampu neon itu membuatkan pemandangan di situ sedikit cerah. Dia memang kurang suka keluar malam namun atas jemputan seorang rakan baik semasa berada di universiti dulu, terpaksa juga dia memujuk diri unutk keluar. Lagi pula sekadar sambutan majlis hari jadi sahaja, tidak salah, kan?
                Terdapat banyak lot-lot banglo mewah terbina megah di kiri kanan jalan. Ada yang mempunyai ketinggian dua tingkat dan ada yang sehingga mencecah empat. Memamng betul-betul kawasan perumahan elitlah, bisik hatinya.
                Rumah banglo tiga tingkat yang bernombor 3003 itu menarik perhatiannya. Sememangnya rumah itulah yang dicari jika mengikut alamat yang diberi oleh kawan baiknya itu.
                Dia memberhentikan keretanya di pinggir jalan yang sedikit jauh kerana di kiri kanan jalan di situ sudah penuh dengan kereta terparkir. Dia menjeling sedikit ke arah laman rumah banglo itu. Agak sesak sedikit dengan kereta-kereta mewah yang tersusun. Dia menarik nafas panjang sebelum melepaskannya perlahan-lahan. Terasa sedikit kerdil dirinya ketika ini yang hanya memandu kereta Perodua Myvi sahaja.
                Telefon bimbit di dalam clutch bag yang digenggam di tangan dikeluarkan. Butang menu mesej ditekan untuk memastikan alamat yang tertera di situ sama dengan nombor rumah yang ada di hadapannya ketika ini. Setelah memastikan alamat itu betul, dia membuka pintu keretanya untuk keluar. Gaun labuh separas buku lali yang berwarna perang gelap itu dibetulkan sedikit supaya kelihatan kemas. Lilitan tudung yang tersarung di kepalanya dilihat di cermin kereta. Perfect!
                Tiba-tiba kedengaran bunyi telefon bimbitnya  berlagu. Telefon bimbit yang sedia ada di tangan dikerling sekilas. Cepat-cepat butang hijau ditekan laju apabila terpandang nama yang dikenali di skrin telefon. Bibirnya mula mengukir senyuman lebar.
                "Helo Rish," sapanya lembut kepada pemanggil di talian.
                "Helo Syaf, dah sampai ke?" tanya lelaki yang dipanggil Rish itu.
                "Ha, dah sampai dah ni. Rish lambat lagi ke nak datang sini?" soalnya kembali.
                "Maybe Rish pergi lewat sikit kut. Kena siapkan report ni dulu." Syaf mengeluh perlahan. Akur dengan jawapan yang didengari daripada lelaki itu. Lelaki itu memang fokus dengan kerjanya apatah lagi baru-baru ini telah dinaikkan pangkat. Sudah tentu semakin banyak urusan kerja yang perlu dilakukan.
                "Hmmm, yelah. Nanti dah sampai jangan lupa give me a call, okay?"
                "Okay,dear. Rish letak dululah eh. Take care."
                "Okeylah, you too. Bye."
                "Bye." Panggilan itu dimatikan. Nampaknya terpaksalah dia jumpa Raimy dulu , walaupun pada awalnya dia dengan Rish telah berjanji untuk datang bersama-sama ke majlis hari jadi teman mereka itu.
                Kaki yang tersarung kasut jenama Vincci yang bertumit dua inci setengah itu mula melangkah perlahan-lahan menuju ke halaman rumah banglo yang tersergam indah. Sedikit debaran melanda dadanya ketika ini. Terasa agak kekok namun dia cuba untuk berbuat selamba.
                Belum sempat kakinya menjejak interlock walkway yang terdapat di halaman  rumah banglo tersebut, dirinya sudah disapa oleh seseorang  yang berpakaian  seperti pengawal. Dia mengukir  senyum tipis.
                "Cik datang untuk majlis hari jadi Tuan Raimy ke?" soal lelaki yang berpakaian seperti pengawal keselamatan itu.
                "Ha, saya datang atas undangan Tuan Raimy..." balasnya seraya mengangguk perlahan.
                "Oh, okey. Dipersilakan," pelawa lelaki tersebut lalu menunjukkannya ke arah pintu utama yang tertutup rapat. Lelaki itu membuka pintu dan sekali lagi tersenyum padanya.
                "Terima kasih," balasnya sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu rumah itu ditutup kembali dari luar. Matanya cepat memandang ke arah segenap rumah yangdipenuhi tetamu yangkelihatan di sana sini. Muzik kuat berdentum memecah suasana.Private party?


FIRASH memandu sambil memerhatikan jam di dashboard kereta. Tepat jam sembilan malam. Dia mengeluh perlahan danmemandang ke arah jalan raya yang masih sesak dengan kenderaan. Inilah padahnya gatal sangat main game tadi sampai terlewat keluar, bisiknya dalam hati. Namun dia tetap juga pergi atas jemputan seorang teman satu universiti.
                Baru sahaja tangannya hendak menekan punat radio, iPhonenya di poket bergetar perlahan. Jarinya tidak jadi untuk menekan punat radio sebaliknya cuba menarik iPhonenya itu. Dia merengus kecil apabila iPhonenya sedikit tersekat akibat jean yang dipakainya sedikit ketat.
                Apabila iPhonenya itu berjaya dikeluarkan, jarinya pantas menekan butang hijau dan loudspeaker. Dahinya sedikit berkerut apabila mendengar suara pemanggil itu.
                "Kau tak jadi pergi ke Mie?" soalnya dengan rasa tidak puas hati.
                "Kau ajelah pergi dulu, Chad. Aku tiba-tiba macam sakit perut aje ni. Dah banyak kali ulang-alik pergi tandas," balas kawannya yang bernama Mie di talian. Firash tersandar di seat kereta Mitsubishi Evo-nya itu. Ada riak tidak senang terpamer di wajahnya.
                "Kau ni Mie, macam-macamlah. Dah aku nanti macam mana pulak kat sana? Dahlah si Fiqri tu tiba-tiba saja ada hal family pulak malam ni..." rungut Firash lagi.
                "Sorrylah dude. Buka sengaja pun. Ala... kau just pergi hantar hadiah lepas tu balik ajelah," cadang Mie. Firash diam seketika dan mula berfikir akan cadangan Mie itu.
                "Hmmm, okey jugak tu. Nanti lepas tu aku balik rumah terus. Kau masak macam biasa, eh?"
                "Yelah,yelah. Jangan lupa kirim salam dan ucapanaku kat Raina tu," Mie tergelak kecil.
                "Ha, yelah. Aku letak dulu ni." Firash memutuskan talian. Bibirnya mengukir sedikit senyuman apabila kenderaan yang bersesak-sesak itu mulai berkurangan.


SYAF memerhati ke sekeliling untuk mencari Raimy namun kelibat lelaki itu langsung tidak kelihatan. Sejujurnya dia berasa agak sedikit kekok untuk berada di rumah mewah lelaki itu walaupun tetamu yang datang agak ramai. Bukannya apa, hampir semua tetamu yang datang berpakaian ala-ala Barat. Semuanya hampir-hampir tidak cukup kain. Hanya beberapa kerat sahaja tetamu yang mengenakan tudung namun pakaian mereka lebih kurang sama sahaja seperti tetamu lain.
                Dia mengambil piring kertas dan mengisi beberapa keping puding jagung  yang ada di situ. Namun semuanya terhenti apabila terasa bahunya dicuit seseorang. Dia lantas berpaling. Llelaki yang berkemeja Polo Ralph Lauren berwarna biru lembut sedang tersenyum manis memandangnya.
                "Ha, datang pun. Ingat tak datang tadi." tutur lelaki itu sambil matanya merenung tepat ke wajah Syaf. Syaf tersenyum membalas.
                "Mestilah datang. Dah nama pun kawan baik, kan? Selamat hari jadi. Moga panjang umur dan murah rezeki selalu," balas Syaf sambil tergelak kecil. Raimy panar melihat gadis di hadapannya ketawa. Sudah lama dia merindui gelak ketawa gadis itu. Sejak dari zaman universiti lagi.
                "Thanks, Syaf. Ermm, hadiah aku mana?" soal Raimy lagi separuh mengusik. Syaf memandang Raimy. Alamak! Lupa pulak nak ambil dalam kereta tadi!
                "Eh, aku lupa la, Raimy. Nanti eh, aku pergi ambil kejap." Balas Syaf lalu meletakkan kembali piring kertas di meja hidangan. Dia yang mula melangkah, berhenti apabila terasa lengannya itu dipegang.
                "Relakslah Syaf. Aku gurau ajelah. Kau sudi datang pun dah cukup baik," ujar Raimy lagi. Syaf tidak jadi untuk melangkah namun matanya sempat merenung tangan Raimy yang masih memegang lengannya walaupun berlapik. Raimy yang memahami akan perkara itu cepat-cepat mengalihkan tangannya.
                "Yelah, tapi sebelum balik nanti kau jangan lupa ingatkan aku tau!" pesan Syaf.
                "Okey,okey... nanti aku beritahu, Jemputlah makan dulu Syaf, kejap lagi baru potong kek," sambung Raimy lagi.
                "Oh yeke?Erm, kau cakap birthday ni sekali dengan adik kau. Mana dia?" soal Syaf sambil matanya melilau memandang sekeliling. Cuba mencari adik Raimy walaupun dia sebenarnya tidak pernah lagi berjumpa.
                "Oh adik aku tu. Hmmm, biasalah... tengah bersiap tu kat atas. Eh, Rish tak datang ke?" soal Raimy lagi berbasa-basi. Dia perasan Farish tiada bersama dengan Syaf tadi. Namun kalau lelaki itu tidak datang , okey juga. Bolehlah dia meluangkan sedikit masa bersama dengan Syaf, bisik hatinya lagi dengan senyuman di bibir.
                "Oh macam tu. Rish kata nak datang tapi maybe lewat sikit kut. Ada kerja lagi kat ofis," balas Syaf tanpa mengesyaki apa-apa akan pertanyaan daripada Raimy itu. Tambahan pula mereka bertiga berkawan baik sejak di universiti dulu. Segala kisah suka duka mereka bertiga dikongsi bersama.
                "Raimy! Terdengar satu suara sedikit menjerit memanggil Raimy.
                Syaf dan Raimy masing-masing  berpaling ke arah suara itu. Kelihatan seorang perempuan yang memakai gaun malam bertali halus di bahu itu sedang tersenyum manis memandang Raimy. Dengan langkah sedikit menggoda, dia berjalan mendekati Raimy. Tanpa segan-silu tangannya merangkul erat lengan Raimy. Raimy memandang kelat ke arah Syaf di hadapannya.
                "Raimy, dari tadi I cari you tau!" Perempuan itu berkata separuh berbisik di telinga Raimy. Wajah Raimy seakan serba salah ketika memandang Syaf.
                "Erm, aku pergi makan dululah Raimy. Jumpa lagi nanti." Akhirnya Syaf mengundurkan diri apabila menyedari pandangan tajam yang dilemparkan oleh perempuan yang berada di sisi Raimy itu. Laju sahaja dia mendekatkan dirinya ke arah meja makan yang dipenuhi dengan deretan pelbagai makanan. Piring kertas yang mengandungi beberapa keping potongan puding jagung itu sekali lagi diambil. Dia menuju ke arah sofa yang terdapat di hujung ruang tamu itu.


SUSAH betul nak masuk dalam rumah ni, siap ada pengawal bagai," gumam Firash lalu melangkah ke pintu besar rumah banglo tiga tingkat itu. Pengawal yang baru sahaja menegurnya tadi dikerling sekilas. Namun di dalam hatinya terasa sedikit pelik apabila menyedari yang majlis sambutan hari jadi itu dibuat di rumah, tidak di hotel atau pun restoran mewah. Si Raina ni buat private party ke?
                Bungkusan cantik di tangan direnung seketika. Harap-harap Raina suka dengan hadiah daripadanya ini. Dia memang tidak pandai memilih hadiah. Sekadar novel terbaru yang dijumpainya semalam semasa berkunjung ke Popular untuk membeli komik. Hendak beli baju atau aksesori pun, lagilah dia tidak pandai. Apatah lagi dia tidak punya adik-beradik perempuan. Hanya ada seorang abang sahaja.
                Pintu rumah yang ditutup rapat itu tiba-tiba sahaja dikuak dari dalam. Dia terpempan di situ melihat Raina yang sedang memeluk lengan seorang lelaki. Raina yang sedang bergelak ketawa itu tiba-tiba sahaja berdiri tegak. Mati terus ketawanya. Tangannya yang erat memegang lengan lelaki berkemeja putih itu segera dilepaskan. Wajah yang sedikit kelat cuba tersenyum semanis mungkin buat Firash.
                "Firash, you datang juga akhirnya...," tegur Raina ceria dan mendekati Firash. Lelaki yang berada di sebelahnya memandang Firash dengan pandangan yang tidak dapat ditafsirkan namun Firash cuba berbuat selamba. Kotak hadiah yang berada di tangannya dihulurkan kepada Raina.
                "Happy birthday, Raina." ucap Firash dengan senyum tawar seperti tiada gula. Raina tersenyum manis. Laju sahaja tangannya menyambut huluran hadiah daripada Firash.
                "Thanks, Firash. Susah-susah je," balas Raina. Tangannya cuba menggoyang-goyangkan kotak itu. Firash hanya memandang tanpa perasaan. Matanya sempat mengerling keadaan di dalam rumah Raina yang dipenuhi tetamu yang kebanyakannya seperti daripada golongan berada.
                "You're welcome. Tak susah pun. Hmmm, ni private party ke?" tanya Firash kepada Raina yang masih ralit membelek hadiahnya. Raina mengangkat muka memandang Firash. Dia sedikit tersengih.
                "Haah. Private party. Untuk kawan-kawan terdekat aje,"balas Raina.
                "Patutlah..." gumam Firash perlahan.
                "Sorry, you cakap apa tadi?"
                "Erm, nothing," balas Firash bersahaja namun matanya sempat menangkap kelibat seseorang yang dikenalinya berada di celah-celah tetamu yang hadir. Is that her? Dia buat apa kat sini?
                "Eh, lupa pulak nak jemput you masuk. Jom!" pelawa Raina mesra. Lelaki yang berada di sisi Raina tadi sudah pun pergi apabila melihat Raina berbual mesra dengan Firash.

                "Erm... erm okey." tergagap Firash menjawab. Lupa sudah dia dengan cadangan Mie tadi. Tambahan pula kelibat sesorang yang dikenalinya itu menarik minatnya untuk berada di situ dengan lebih lama. Dia membuntuti Raina yang sudah melangkah masuk.

No comments:

Post a Comment