Monday, October 21, 2013

SEBENARNYA SAYA ISTERI DIA.... ( PROLOG )

PROLOG

Suasana di beranda sebuah rumah kayu yang memuatkan hampir dua puluh orang kanak-kanak itu sedikit riuh rendah. Masing-masing sedang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Seorang gadis kecil yang sudah menginjak umur hampir dua belas tahun hanya memandang mereka semua dengan senyuman terukir di bibir. Dalam kalangan mereka semua, dialah yang paling tua. Dan dalam kalangan mereka semua, dialah yang paling banyak khatam kitab suci itu. Sudah hampir mencecah tiga kali khatam di dalam tempoh enam tahun dia mengaji. Namun kerana ingin menolong Mak Ngah Hasmah, dia sudi sahaja mengikuti pengajaran mak ngah itu. Tambahan pula tahun depan dia bakal menjejaki sekolah menengah. Sudah pasti aktiviti ini akan ditinggalkan kerana lewat petang baru pulang ke rumah.
                "Qira, mak ngah nak masuk dapur kejap. Qira tolong tengok-tengokkan mereka semua ni, eh? Kalau yang dah banyak baca tu boleh ajar," pinta Mak Ngah Hasmah. Wanita yang berusia awal empat puluhan itu memandang Qira. Dia hanya seorang suri rumah sepenuh masa namun disebabkan minat yang mendalam, dia mengambil keputusan untuk pergi berkursus dan akhirnya mengajar mereka semua mengaji di rumahnya saban petang.
                "Yelah mak ngah, nanti Qira tolong ajarkan... " balas si gadis ini sambil menguntum senyum. Dia amat menghormati wanita yang dipanggil mak ngah itu. Wanita itu terlalu baik kerana tidak mengambil upah pun untuk mengajar mereka semua mengaji. Semuanya dilakukan kerana minat dan dia ikhlas di dalam mengajar mereka semua.
                "Ha. ajarlah yang mana dah banyak baca tu. Selagi mereka tak lancar, kamu jangan pandai-pandai alihkan pulak. Nanti mak ngah datang balik," sambung Mak Ngah Hasmah lagi sebelum menghilangkan diri ke dalam rumah.
                Qira membetulkan sila. Nashkah suci itu dibelek-belek sebelum penunjuk kertas yang bercorak abstrak itu diletakkan di tengah-tengah muka surat yang sudah habis dibaca tadi.
                "Okey, siapa-siapa yang dah baca banyak kali tu, boleh datang sini." Qira berkata sambil memandang ke arah mereka yang masih sibuk membaca. Ada antara mereka yang membaca Iqra' dan ada yang sudah membaca kitab al-Quran walaupun umur masih muda.
                Matanya tertancap pada seorang budak lelaki yang memakai sepasang baju Melayu cekak musang berwarna merah hati. Bibirnya yang kemerah-merahan kerana kulitnya yang begitu cerah nampak comel sahaja ketika membaca. Bersungguh-sungguh sahaja gaya dia membaca. Dia tahu yang budak lelaki itu baru sahaja menamatkan bacaan Iqra' jilid enamnya minggu lepas. Jadinya minggu ini, budak lelaki itu sudah mula membaca kitab al-Quran.
                "Kak Qira, ajar Shidah dulu ye." Pinta seorang budak perempuan kecil yang hampir sebaya umurnya dengan budak lelaki yang memakai baju Melayu merah hati itu. Di kejauhan, Qira mendapati budak lelaki comel itu sedang memandang ke arahnya.
                "Yelah." Qira bersetuju. Laju saja Shidah bergerak  mendapatkan Qira yang sedang bersila itu. Rehal kayu yang ditatangnya itu diletakkan perlahan-lahan di hadapan Qira.
                "Kak Qira, ajar kita jugak." Qira yang sedang menunggu Shidah membelek muka surat Iqra' itu mendongak. Budak lelaki comel itu mengangkat rehal kayu yang berukir menuju ke arahnya. Hampir sahaja budak lelaki itu melanggar Shidah yang sudah berada di hadapan Qira.
                "Apa ni Acad, nasib tak langgar orang." tegur Shidah sedikit mencebik. Dia membetulkan kedudukannya kembali, sementara budak lelaki yang bernama Acad itu sudah merapati Qira di sebelah kanan. Hendak duduk berhadapan dengan gadis itu sudah tidak ada ruang Shidah ada. Terpaksalah dia duduk di sebelah kanan.
                "Shidah dah baca berapa kali?" soal Qira memandang Shidah di hadapannya itu.
                "Dah baca lima kali dah, Kak Qira." jawab Shidah sambil tersengih sambil tersengih.
                "Ala, baru aje baca lima kali dah suruh Kak Qira ajar. Kita yang baca sepuluh kali ni tak kecoh pun." Acad mencelah perbualan antara Qira dengan Shidah. Manakala Shidah sudah mempamerkan riak tidak senang dengan celahan Acad.
                "Orang baca lima kali pun dah lancar. Takmacam dia tu," sindir Shidah. Acad yang merasa dirinya diejek itu membuat muka.
                "Eh, tengok oranglah. Kak Qira patutnya ajar kita dulu. Kita dahlah datang awal tadi, baca pun dah banyak ni." Acad merenung Qira. Cuba menagih simpati daripada gadis itu.
                Qira mengeluh. Maca-macam hallah budak berdua ni!
                "Eh, kita yang datang dulu kat Kak Qira jadi kitalah yang Kak Qira ajar dulu," balas Shidah, tidak mahu mengalah. Dia menjeling ke arah Acad.
                "Kak Qira, mak ngah dah pesan tadi, kena ajar orang yang dah dah baca banyak kali. Ni Shidah baca sikit je." Acad mengingatkan Qira akan pesanan mak ngah sebentar tadi. Qira berdiam diri seketika sebelum membuat keputusan.
                "Yelah,yelah! Kak Qira ajar Acad dululah," putus Qira. Bimbang juga kalau Acad ini mengadu pada mak ngah. Habislah jatuh reputasi dia sebagai anak murid Mak Ngah Hasmah yang paling dipercayai itu. Acad sudah tersengih apabila gadis itu bersetuju untuk mengajarnya dahulu. Sedangkan Shidah sudah memeluk tubuh tanda tidak puas hati.
                "Yeay! Nanti kejap eh, Kak Qira." laju sahaja Acad mengangkatrehal kayunya berhadapan dengan gadis itu. Dia membuat isyarat kepada Shidah supaya Shidah bergerakke kiri sedikit untuk memberi ruang kepadanya.
                "Acad dah baca kat mana?" soal Qira memandang Acad yang sedang membelek helaian kitab suci itu.
                "Baru aje masuk  muka surat dua, Kak Qira." Acad tersenyum menampakkan kedua-dua lesung pipitnya serta gigi  yang tersusun rapi walaupun tidak penuh lagi.
                "Oh! Dah, cepat mulakan. Kak Qira pun nak balik dah lepas ni," sambung Qira.
                Acad cepat-cepat membaca bismillah. Seketika kemudian bibirnya perlahan mengalunkan ayat suci itu. Qira memandang sahaja raut wajah Acad yang sedang membaca. Hatinya sedikit kagm apabila Acad lancar sahaja membaca tanpa tersekat-sekat. Tidak padan dengan umurnya yang baru sahaja mencecah lapan tahun.
                "Dah, Kak Qira. Macam mana, boleh alih tak ke ayat yang lain?" soal Acad sambil tersenyum manis. Tersentak lamunan gadis itu seketika. Dia berdeham.
                "Hmmm, okey. Nanti baca dari isni sampai sini pulak." Penunjuk kertas itu ditunjukkan pada baris ayat yang perlu dibaca. Hanya lima baris sahaja yang dibenarkan untuk mengalihkan bacaan. Itu pesan mak ngah padanya jika hendak mengajar budak-budak yang baru sahaja membaca al-Quran. Bimbang jika disuruh baca banyak-banyak nanti, tidak pula kena tajwidnya.
                "Terima kasih, Kak Qira," balas Acad ceria. Tangannya laju menutup kitab al-Quran itu dan mengucupnya tiga kali sebelum dibawa ke dada.
                "Sama-sama," balas Qira. Belum sempat dia memanggil Shidah untuk menyuruh budak itu ke hadapannya, Mak Ngah Hasmah sudah muncul dari pintu utama.
                "Ha, Qira dah ajar ke?" soal makngah dari pintu.
                "Dah, mak ngah . Baru je lepas sorang." Dia menuding jari ke arah Acad yang sedang duduk di sebelahnya. Tak balik pulak budak ni. Ingatkan nak balik awal tadi, desis hatinya.
                "Baguslah tu. Ha Shidah, yang kamu tu kenapa duduk depan Qira? Meh sini mak ngah ajarkan," arah Mak Ngah Hasmah. Dia sengaja memanggil budak perempuan yang bernama Shidah itu. Bukannya dia tidak tahu yang Shidah itu selalu sahaja suruh Qira ajarkan sebab hendak balik awal. Kalau balik sebab ada kerja tidak apalah juga. Ini sibuk hendak ikut abang sulungnya pergi tangkap ikan sekila di parit.
                "Ala mak ngah, biar ajelah Kak Qira ajar," rengek Shidah tidak berpuas hati. Dia kalau boleh tidak mahu Mak Ngah Hasmah yang ajar kerana wanita itu selalu sahaja menegurnya kerana selalu pergi menangkap ikan dengan budak-budak lelaki termasuk abang sulungnya itu.
                "Padan muka!" Acad berkata dengan nada berbisik. Sengaja dia menunjukkan isyarat bagus kepada Shidah yang sudah terkulat-kulat di situ. Mak Ngah Hasmah yang mendengar Acad mengejek Shidah berkalih pandang.
                "Ha kamu tu Acad, kenapa tak balik lagi? Nanti sibuk pulak TokMi kamu cari..." tegur mak ngah pada Acad yang berada rapat dengan Qira.
                "Orang nak tunggu Kak Qiralah, mak ngah," balas Acad sambil tersengih.
                Mak Ngah Hasmah berkerut muka tanda tidak faham. 'Kenapa pulak budak ni sibuk nak tunggu Si Qira? fikirnya.
                "Kenapa pulak nak tunggu Kak Qira? Kan rumah kamu ikut jalan lain," selar mak ngah.
                Qira yang turut mendengar sudah memalingkan muka memandang Acad di sebelah. 'Kenapa nak tunggu aku pulak ni? Bukannya ada nak balik sama-sama pun!'
                "Saja je, mak ngah. Orang nak temankan Kak Qira balik," jawab Acad bersahaja.
                "Kita bukan balik jalan yang sama pun," Qira menambah. 'Apa kena dengan budak ni hari ni? Tersenyum-senyum aje dari tadi pandang aku. Sudahlah duduk dekat semacam aje.'
                "Kita nak temankan Kak Qira balik sebab kita sukakan Kak Qira. Nanti bila kita dah besar, kita nak kahwin dengan Kak Qira..." balas Acad sambil tersenyum lebar memandang Qira, sedangkan gadis itu sudah pun berkedu. Wajahnya merah padam. Budak-budak lain berpandangan sesama sendiri dan mula berbisik-bisik. Kemudian masing-masing menghamburkan ketawa mendengar pengakuan berani mati daripada Acad.
                "Dah... dah, jangan gelak lagi. Ha kamu Acad, kecik-kecik lagi dah pandai cakap suka kat orang. Habis tu Shidah yang suka kamu tu, macam mana? Mak Ngah Hasmah menenangkan keadaan. Terasa lucu juga mendengar pengakuan daripada budak lelaki itu tadi.
                "Biarlah kita kecik pun, nanti dah besar kita ajaklah Kak Qira kahwin dengan kita. Kita tak suka Shidah. Shidah gelap." polos sahaja suara itu menjengah ke telinga milik Qira.
                Serentak itu riuh ketawa memecah suasana. Qira sudah tidak betah berada di situ. Sudahlah tadi malunya bukan kepalang apabila semua pakat gelakkan dia, ini sekali lagi mereka semua ketawa. Tangannya mengambil beg kain yang mengandungi kitab al-Quran dan mula bingkas bangun. Laju sahaja dia mendapatkan Mak Ngah Hasmah.
                "Mak Ngah, Qira balik dululah. Assalamualaikum." Tangan Mak Ngah Hasmah disalam laju. Kemudian sedikit tergesa-gesa dia menuruni anak tangga kayu sebelum menyarung selipar jepunnya yang berwarna pink terang.
                Mak Ngah Hasmah menggeleng kepala melihat telatah Qira. Dia tahu sudah pasti gadis itu malu. Sudahlah dia antara yang paling tua di sini.
"Kita pun nak balik jugak, mak ngah," Laju sahaja Acad mendapatkan mak ngah sebelum terkocoh-kocoh menuruni anak tangga. Dia memandang ke hadapan, kelihatan gadis itu sudah mula menjauh.
                "Kak Qira, tunggu!" Dia melaung memanggil nama gadis itu namun gadis itu semakin melajukan langkah. Dengan berbekallkan sedikit tenaga, dia berlari mendapatkan gadis itu.
                "Kak Qira!" panggilnya dengan sedikit termengah-mengah. Dia menghalang laluan gadis itu dengan mendepangkan kedua-dua tangannya. Gadis itu terpaksa berhenti kerana jalan yang mereka lalui hanya kecil sahaja. Ada sepohon belimbing di situ, dan yang lainnya adalah semak-samun. Takkanlah dia hendak redah semak pula semata-mata hendak lari daripada budak lelaki itu.
                "Kenapa ni Acad? Kak Qira nak balik." Sedikit tegas nada yang dikeluarkan oleh gadis itu. Pandangan tajam dilemparkan ke arah budak lelaki yang sedang menghalang laluannya itu.
                "Kak Qira, kita sukakan Kak Qira. Kita sayangkan Kak Qira." Acad mengulang pengakuan yang dibuat tadi tetapi kali ini perkataan sayang ditambah di hujung ayat tersebut.
                Qira membulatkan mata. 'Tak habis-habis lagi dengan pengakuan dia tu. Ingat aku ni apalah agaknya,' bebel Qira di dalam hati.
                "Dah la Acad, Kak Qira nak balik ni." putus Qira. Dia merapatkan diri ke arah tubuh budak lelaki itu. Andai kata budak lelaki itu tidak mahu berganjak, dia sudah berkira-kira mahu menolak sahaja ke tepi. Tidak kisahlah kalau budak itu jatuh tergolek pun.
                "Kak Qira, kita sayang sangat kat Kak Qira," Ulang Acad lalu memegang tangan kanan Qira yang berada hampir dengan tubuhnya.
                Qira tergamam. Tanpa sedar anak matanya menangkap kelakuan budak lelaki itu padanya.
                "Kak Qira tunggu kita tau!" Budak lelaki itu menjongketkan kedua-dua kakinya sebelum mengucup pipi Qira yang sedang tegak berdiri. Serentak itu pantas sahaja dia berlari meninggalkan gadis itu yang sudah kaku dengan bibir yang tersenyum lebar.

                Qira memegang pipi kanannya yang baru sahaja dikucup. Terasa laju sahaja jantungnya berdegup.

No comments:

Post a Comment